Thursday 24 March 2016

Takut

Jika kau tanya aku "Apa kau tak takut?"
Tentu sahaja aku takut . Ketakutan yang tak pernah lelah menjengah fikiran lewat malam ketika dunia mengunci bibir. Menutup tirai pentas.
Aku berlari dari satu ketakutan ke satu ketakutan yang lain.
Ketakutan kepada masa lalu.
Ketakutan kepada masa hadapan.
Ketakutan kepada persepsi dan tanggapan manusia kepadaku.
Tentu sahaja aku takut tidak lagi disayangi .
Takut disisihkan.
Takut dicemuh dan dibenci.

Aku takut mendengar detikan jam lewat malam ketika sunyi . Aku takut menghitung waktu yang tersisa .Aku takut dan tak pernah aku cukup berani.
Aku hanyalah ruh yang berbalutkan lapisan daging yang mampu membusuk dan mereput, berpaut pada tulang yang mampu patah dan hancur.
Duri yang kecil mampu mengoyak kulitku dan kata-kata yang tajam berkali-kali menghiris hati.

Sungguh aku lemah dan tak pernah ku akui kuat!

Tapi hidup tak memberi ruang kepada si pengecut yang hanya mengikut bagai lembu dicucuk hidung. Bersembunyi di balik barisan kata-kata yang hanya lekat pada skrin LCD .Tak!

Inilah wajahku dan fikiranku dan akan kujulang tinggi biar kalian kenali. Aku tidak akan meminta izin untuk berfikir dan berpendirian. Inilah jalanku.

Pilihlah jalanmu.

Kita tak sama bukan?


No comments:

Post a Comment