Wednesday 4 November 2015

Dekat tetapi Jauh 4

Aku selalu tertanya-tanya.
"Kenapa tuhan hantar aku ke sini?"
Bumi United Kingdom terlalu gah untuk aku,seorang gadis kampung yang dahulunya hanya bercita-cita untuk memasuki Universiti Malaya untuk menyambung tradisi adik-beradik perempuan dalam keluarga.Bagi aku,percaturan tuhan itu itu selalu sahaja punya rahsia yang tersembunyi.Adakah aku akan diuji dengan kemewahan elaun bulanan?Adakah kerana di sini aku akan lebih giat mempelajari agama?Adakah agar aku didedahkan dengan sesuatu yang akan lebih mematangkan fikiran di sini?

Maka aku jadi takut.

Peristiwa petang tadi membuatkan aku kembali tertanya-tanya.Sejak dia meninggalkan Kolej Mara Bintang,aku menyangkakan semuanya berakhir di situ.Barangkali aku sudah terlepas dari sumpahan lirik mata bundarnya,liang-liuk helaian rambutnya dimainkan angin dan riak wajahnya yang tidak beremosi.Barangkali apabila jasadnya diterbangkan pesawat MAS itu,segala kenangan dan kisah antara kami akan turut dibawa pergi.Ternyata aku silap.Ternyata ujian tuhan tidak terhenti di situ.Beberapa bulan mengenalinya ternyata meninggalkan terlalu banyak perkara untuk diingati.

Aku masih ingat waktu itu.
**
Dewan selera Kolej Mara Bintang Riuh riuh-rendah.Bilangan pelajar di situ semakin surut tatkala dulang-dulang berisi supper disusun dan disimpan oleh pekerja-pekerja di situ.Manakala di suatu sudut di dewan yang sama pula,sekitar tiga puluh orang pelajar sedang berselera menikmati nasi tomato yang dihidangkan dalam bekas polistrin berwarna putih.Zaki selaku bekas pengerusi Kelab Kaunseling dalam ucapannnya sempat mengusik,Ilham iaitu pelajar yang bakal mengambil alih tugasnya untuk sesi akademik tahun berikutnya.Ilham tersengih-sengih.

Hari itu majlis perpisahan dengan ahli kelab Kaunseling diadakan.Bermula dari hari ini,secara rasminya mereka semua yang memegang jawatan penting dalam kelab dapat menyerahkan tugas mereka kepada pelapis-pelapis dari kalangan pelajar tahun pertama.Belon-belon berwarna-warni melambung-lambung di udara,jatuh kemudian ditampar semula oleh sesiapa sahaja yang duduk di bawahnya.Sudu dan garpu bergemerincing.Suara hilai tawa berselang-seli dengan bunyi petikan guitar yang dimainkan oleh Rizqi,pelajar jurusan perubatan dalam persembahannya.

Kebisingan itu ternyata tidak berjaya memadamkan lamunannya.Robert,seperti biasa hanyut dalam lohong imaginasinya.Nasi tomato dikuis-kuis sementara pandangannya ditala ke langit hittam.Aku faham dengan tingkah lakunya itu.Lelaki itu gemar bercerita pada langit.Baginya,langit itu adalah kertas lukisannya.Setiap kali fikirannya terganggu,matanya akan meluahkan pada langit.

"Oh,sorry!"

Zaki spontan mengangkat tangannya dari meja sebaik sahaja aku tampil di hadapannya dengan kain buruk.Lagakku seakan-akan pekerja restaurant.Memungut bekas polistrin lalu mengelap meja.Lelaki yang duduk disebelahnya masih lagi tidak sedar dengan kehadiranku.Zaki menyiku Robert lalu menjuihkan mulutnya ke arahku.Robert seperti biasa,tidak menampakkan apa-apa reaksi  melalui wajahnya,namun ikut menarik lengannya dari permukaan meja.Tidak timbul perbualan antara kami.Malah sebenarnya sudah agak lama juga kami tidak bercakap sesama sendiri.Semua itu berlaku sejak peristiwa itu..

"Senyap aja Noura hari ni?Sakit perut eh?"Zaki berseloroh.

Spontan aku melepaskan tawa.

"Lepas ni pergi sambung mana?"Zaki menyambung pertanyaannya.Robert kembali merenung langit.Tapi ada sesuatu pada wajahnya yang membuatkan dia kelihatan memasang telinga.

"Australia.InsyaAllah."Aku membalas sambil menjungkit bahu.

Zaki mengangguk-angguk dengan senyum lebar."Nanti kita jumpa sana eh?Kau..Korang mesti rindu aku nanti?"Dia mengangkat kedua-dua belah kening..
"Ah cukuplah pemerintahan diktator kau kat sini.Malas lah.."Aku bergurau
"Zaki berpura-pura mencebik.
"Robert pergi United Kingdom.Marah dia cepat!"Zaki menjeling ke arah lelaki di sebelahnya."Semua orang pergi Aussie,kau seorang pergi UK.Best sangatlah UK tu hah??"Omelannya diikuti dengan tamparan ke bahu Robert.

Robert tidak menoleh.Aku tahu akan hal itu.Tapi entah kenapa,kenyataan Zaki tadi masih terasa pahit untuk didengar.Tahun hadapan,aku tak akan jumpa lelaki Chipsmore itu lagi.Aku tak akan berselisih dengannya di jogging track.Raihan akan berhenti menggosipkan kami.Dia akan cemerlang dalam pelajarannya,sedangkan aku..Memori aku berputar kembali kepada keputusan peperiksaan akhir semester yang lepas."Hendak ke Australia Noura?"Terasa ada suatu suara mengherdik sinis dari dalam fikiran.

"UK ke Aussie ke..Malaysia ke..Kan masih atas bumi?'Langit' tetap sama."Robert tiba-tiba bersuara.
Aku tersentak.Zaki yang jelas-jelas tidak faham akan maksudnya,membalas.
"Betul,nanti boleh pergi trip UK ramai-ramai!"
Aku sekadar mengukir senyum.Meja yang baru dilap kelihatan punya jalur-jalur lembab dan bersinar di bawah sinaran lampu pendarfluor.Kerjaku di situ sudah selesai.Aku menapak menghampiri meja yang lain.

"Kau langit aku.Kau nampak pada aku apa yang orang lain tak nampak.."

Kata-kata lelaki itu suatu masa dahulu kembali di ingatan.Seketika itu aku merasakan kedua-dua pipiku menjadi hangat.Ada suatu perasaan yang berat menghurung dada.Kain buruk di tangan kanan,ku letakkan di atas meja yang berhampiran dan tanpa menoleh aku terus berlari ke blok asrama.Menghayun langkah sambil diringi dengan lagu 'The Scientist' dendangan Rizqi yang sayup-sayup hilang.

Nobody said it was easy
It's such a shame for us to part
Nobody said it was easy
No one ever said it would be this hard

Oh, take me back to the start


"Langit akan tetap sama.Tapi manusia yang sebelum ini melihatnya mungkin akan kembali menunduk.Mungkin dia akan mencari sesuatu yang lebih indah untuk dilihat.Mungkin dia akan penat mendongak."

Aku terus berlari.Seperti yang aku lakukan sebelumnya.Berlari kerana takut akan masa hadapan.Berlari kerana takut menyimpan harap.Berlari kerana takut akan perasaan yang mengundang murka tuhan.Lari dan lari..



                                Stone Circle.UK.

No comments:

Post a Comment